SPRITZER EDARKAN AIR MINERAL KEPADA KOMUNITI YANG TERJEJAS OLEH BENCANA BANJIR
Syarikat bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk mengedarkan air bersih bagi membantu mangsa banjir
Spritzer prihatin terhadap kesengsaraan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia sejak 72 jam yang lalu dan bersedia menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.
Menurut laporan, terdapat lebih 22,000 orang dipindahkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada Ahad ketika negara berdepan bencana banjir terburuk sejak beberapa lama disebabkan hujan lebat berhari-hari lamanya.
Berikutan kecemasan tersebut, Syarikat segera membuat persiapan untuk mengedarkan air mineral menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ke pusat-pusat pemindahan banjir terpilih di seluruh negara. Air botol Mineral Semula Jadi Spritzer bernilai lebih daripada RM50,000 kini dibawa kepada mangsa banjir dan petugas penyelamat di kawasan-kawasan terjejas, di mana mangsa tidak mempunyai akses kepada air bersih yang penting untuk menyahidrasi dan memastikan kebersihan setiap masa. APM juga menyediakan makanan kering bagi mangsa-mangsa terlibat.
Spritzer menyeru semua lapisan masyarakat supaya berwaspada dengan air yang tercemar dan mengelak meminum air dari sumber yang tidak diketahui. Orang ramai digalakkan supaya memasak air pili sebelum digunakan untuk meminum, memberus gigi dan sebagainya. Jangan menggunakan air yang kurang jernih atau air yang berbau, dan mengelakkan air yang tercemar terkena pada kulit dan mata.