Prestasi 2021 Hektar REIT: Menempuh Cabaran
Kuala Lumpur (Feb 25) — Hektar Asset Management Sdn. Bhd., selaku pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), hari ini mengumumkan keputusan tahunan Hektar REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) dengan perolehan sebanyak RM96.60 juta pada FY2021, susut 13.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Perbelanjaan Operasi Hartanah mengurang sebanyak RM8.59 juta atau penjimatan 14.8% berbanding tahun sebelumnya. Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) adalah sebanyak RM47.02 juta, susut 11.2% berbanding 2020. FY21 merupakan tahun mencabar bagi sektor peruncitan disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara, sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan tidak penting untuk tempoh yang panjang. Di sebalik cabaran tersebut kepada pusat-pusat beli-belah, REIT mampu menarik penyewa baharu dan mengekalkan yang sedia ada meliputi 39.2% Kawasan Sewaan Bersih (NLA) Hektar REIT pada FY21.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q 2021), Hektar REIT mencatat perolehan sebanyak RM24.98 juta, iaitu 16.2% lebih rendah berbanding suku serupa tahun sebelumnya. Perbelanjaan Operasi Hartanah menurun sebanyak RM4.86 juta atau penjimatan sebanyak 27.9% berbanding suku tahunan sama pada tahun sebelumnya. Hektar REIT mencatat pendapatan bersih hartanah sebanyak RM12.38 juta bagi suku di bawah kajian, yang merupakan kenaikan sedikit sebanyak 0.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakaka pendapatan direalisasi bagi 4Q 2021 adalah 185.5% lebih tinggi iaitu RM3.21 juta berbanding RM1.12 juta yang dicatat pada 4Q 2020.
Pengurus menyatakan bahawa terdapat petand pemulihan disokong oleh pembukaan perlahan-lahan ekonomi dan ia juga boleh dilihat pada peningkatan dari segi bilangan pelawat sejak larangan dilonggarkan oleh Kerajaan. Sementara Hektar REIT maklum bahawa trajektori kemajuan pertumbuhan didorong oleh pemulihan pasaran buruh, sokongan polisi berterusan dan perluasan dari segi permintaan luaran, selain kemungkinan pembukaan sempadan antarabangsa seawal suku kedua, REIT walaubagaimanapun mengekalkan kewaspadaan berikutan gelombang baharu jangkitan Omircon.