Gemilang International Limited meraih kontrak penyerahan 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke Amerika Syarikat pada 2022
Gemilang International Limited — pengeluar bas dan badan bas terkemuka Asia, dijangka menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat pada tahun 2022, selaras usaha terus memacu misinya untuk mempromosikan penggunaan penyelesaian mesra alam untuk bas dan badan bas.
Berpangkalan di Johor, GML sudah mereka bentuk dan mengeluarkan badan bas, serta memasang bas sejak lebih 30 tahun. Projek utamanya baru-baru ini termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro, dan projek perintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.
GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.
Syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong (Kod Saham: 6163.HK) berkata ia telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, ketika pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil.
“Malah, GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD dan CRRC ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015, dan kami menjangkakan lebih banyak negara akan mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen perubahan iklim yang telah diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia,” kata Encik Pang Chong Yong, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML.
Beliau seterusnya menambah bahawa tempahan 120 unit bas sekolah dengan panjang 12m dan 20 unit bas sekolah dengan panjang 7.5m adalah luar biasa, bukan hanya kerana ia merupakan satu terobosan untuk pasaran AS, tetapi ia juga merupakan kuantiti terbesar daripada satu pesanan bas EV yang pernah diterima oleh syarikat.
Encik Pang menekankan bahawa pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan eksponen. Ini adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) yang diumumkan baru-baru ini, yang mana telah ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS Joe Biden, dengan komitmen $2.5 bilion (lebih kurang RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik bagi daerah sekitar AS.
“Dengan rancangan baharu untuk menukar kesemua 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan pelepasan sifar, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama 3 dekad kami serta kelebihan daya saing utama kami — struktur super ringan aluminium,” tambahnya.
GML memberi tumpuan kepada membina badan bas dan bas yang mesra alam, dan telah menggunakan penyelesaian badan aluminium sejak lebih daripada 20 tahun.
“Teknologi ringan, bebas kakisan berasal dari Switzerland dan telah dibuktikan oleh pelanggan kami dari lebih 15 pasaran di seluruh dunia. Biasanya, bas kami bertahan lebih lama dan dianggap lebih selamat daripada bas berbadan keluli, dan saya gembira kerana ini telah membantu kami mengembangkan jejak kami di pasaran AS,” kata Encik Pang.