Datuk Michael Chooi muncul sebagai pemegang saham utama EcoFirst

Business Journal
3 min readJan 24, 2022

--

Veteran pasaran modal itu ialah Pengasas Bersama Signature International Bhd dan pemegang saham utama Scanwolf Corporation Bhd

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Datuk Michael Chooi Yoey Sun, pengasas bersama pengeluar kabinet dapur Signature International Bhd (Signature International), telah muncul sebagai pemegang saham utama syarikat hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd (EcoFirst atau Syarikat) dengan kepentingan 5.155% pada 24 Januari 2022.

Datuk Michael Chooi Yoey Sun

Chooi mengambilalih 20 juta saham menerusi pasaran dalam tempoh 14 hari yang lepas. Beliau selanjutnya membeli 40 juta saham lagi daripada transaksi luar pasaran menerusi Wawasan Fokus Sdn Bhd. Harga saham EcoFirst ditutup pada 56 sen hari ini dengan permodalan pasaran sebanyak RM659 juta.

EcoFirst ialah syarikat hartanah bersaiz sederhana dengan bank tanah utama di Lembah Klang, terutamanya di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai. Syarikat kini dalam peringkat perancangan pembangunan untuk fasa seterusnya projek perdana Ampang Ukaynya. Ia mencadangkan pembangunan bercampur dan pembangunan kediaman berikutan kejayaan menyiapkan pembangunan Liberty Arc.

Pembangunan bercampur utamanya, Ampang Ukay ialah projek tujuh fasa di atas tanah seluas 87 ekar yang terletak di Ukay Heights yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4 bilion. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst telah menukar tumpuannya untuk menjual rumah mampu milik kepada M40 atau kumpulan kelas pertengahan Malaysia berikutan permintaan dalam segmen ini.

Sementara itu, Chooi dikenali sebagai pengasas bersama Signature Kitchen dengan rakan kongsinya Tan Kee Choong pada tahun 1994, di mana mereka membekal dan memasang dapur tersedia dipasang dan system almari pakaian. Signature International kemudiannya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada tahun 2008.

Terkenal sebagai pakar jualan dan pemasaran dengan pengalaman hampir 30 tahun, Chooi mengembangkan Signature Kitchen, di mana kabinet dapurnya tidak lama kemudian mencatat sejarah dalam projek hartanah kelas atasan. Signature juga meneroka luar negara iaitu dalam kira-kira 15 pasaran berbeza.

Selepas 27 tahun dalam syarikat itu, Chooi tidak lagi menjadi pemegang saham utama Signature, selepas dia menjual sahamnya kepada Chin Hin Group Bhd pada April 2021. Dia juga meletakkan jawatan sebagai pengarah eksekutif untuk mengejar peluang lain.

Beliau kini merupakan pemegang saham utama Scanwolf Corporation Bhd dengan 12.878% kepentingan.

Mengulas mengenai kemunculan pemegang saham baharu dalam EcoFirst, Pengarah Alternatif Dato’ Kenneth Teoh Seng Kian berkata: “Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Datuk Michael Chooi sebagai pemegang saham strategik dalam EcoFirst. Dengan kepakaran dan rekod prestasinya yang terbukti dalam mengembangkan Signature International, kami menantikan prospek dan inovasi yang menarik di hadapan untuk EcoFirst.”

Chooi Yoey Sun juga berkata, beliau teruja menjadi pemegang saham EcoFirst. Dia masih belum memutuskan sama ada untuk meminta tempat dalam lembaga pengarah susulan kepentingannya yang besar dalam EcoFirst.

“Pertama, EcoFirst mempunyai barisan pengurusan yang kukuh. Ini telah membolehkan syarikat itu memperoleh keuntungan sepanjang dekad yang lalu walaupun menghadapi prospek yang mencabar. Pengurusan adalah peserta hartanah yang bijak dengan sifat utama kesabaran. Ciri ini telah membolehkan mereka membeli bank tanah utama pada masa yang sesuai. Oleh itu, mereka dapat menikmati kos tanah yang rendah. Saya berharap untuk menambah nilai dalam syarikat dengan cara yang mantap dan mampan,” kata Chooi Yoey Sun.

--

--

No responses yet