Bestinet Keluarkan Surat Tuntutan Kepada Laman Berita Dalam Talian
- Surat perundangan dikeluarkan berikutan pernyataan fitnah di artikel dalam talian
Satu Surat Tuntutan telah dikeluarkan bagi pihak Bestinet Sdn Bhd (Bestinet atau Syarikat) dan Dato’ Sri Mohd Amin Abdul Nor (Dato Sri’ Mohd Amin) kepada sebuah portal berita bebas dan dua individu berikutan sebuah artikel dalam talian yang disiarkan di laman web portal berita bertarikh 4 Februari 2022 yang mengandungi pernyataan fitnah.
Surat Tuntutan itu memaklumkan bahawa kandungan pernyataan fitnah itu adalah berniat jahat, tidak benar dan tidak dapat dijustifikasikan. Pernyataan fitnah berkenaan merupakan serangan terhadap integriti dan reputasi Syarikat dan Dato’ Sri Mohd Amin, yang telah diheret ke dalam skandal, cemuhan dan kebencian orang awam.
Bestinet dan Dato’ Sri Mohd Amin bersedia untuk menghentikan tindakan perundangan sekiranya portal berita dalam talian bebas itu dan dua individu berkenaan menghentikan tindakan seperti yang dinyatakan dalam Surat Tuntutan.
Syarikat dan Dato’ Sri Mohd Amin dalam pada itu mengekalkan hak dan kepentingan mereka di sisi undang-undang.
Bestinet adalah sebuah organisasi Teknologi Maklumat yang memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian teknologi merentasi sempadan, aplikasi dan pembangunan infrastruktur yang inovatif, mengutamakan pelanggan dan komprehensif kepada pelanggan daripada sektor awam dan swasta.
Sejak penubuhannya pada 2008, Bestinet terlibat dalam konseptualisasi, pembangunan dan penghantaran penyelesaian teknologi menyeluruh kepada pelbagai pelanggan.
Bestinet sentiasa komited dalam menyampaikan dan melebihi jangkaan pelanggan sebagai rakan strategik, melibatkan mereka dalam setiap proses yang dilakukan. Ia percaya bahawa kerjasama pintar adalah penyumbang utama kepada kejayaan berterusan.